Seminar Kewangan & Perbankan Islam
v Muqaddimah
Bersyukur apabila kelihatan semakin ramai muslim di negara ini yang mula memberikan perhatian tinggi dalam memastikan tanda halal wujud pada setiap barangan makanan yang ingin dibeli. Bagaimanapun, rasa kurang puas hati masih menyelubungi kerana kesedaran masyarakat terhadap halal haram di dalam urusan kewangan dan perbankan masih di tahap yang amat lemah.
Dalam Islam, kesedaran dengan membeli barangan yang bertanda halal sahaja, adalah sangat tidak mencukupi selagi mana barangan halal itu dibeli dengan duit haram, samada hasil riba, pelaburan yang tidak halal atau harta curi, rasuah dan pecah amanah serta lain-lain.
Suatu yang mendukacitakan apabila didapati majoriti umat Islam di Malaysia tidak memahami sebaiknya tatacara dan undang-undang Islam dalam hal ehwal kewangan, padahal majoriti individu tidak akan terlepas dari berurusan dengan urusan kewangan seperti kerjaya, perniagaan sampingan, membeli belah, berhutang dan sebagainya. Kefahaman umat Islam begitu kabur berkenaan Riba yang merupakan ‘ibu dosa’ dalam hal kewangan, perbezaan rasuah dan hadiah, jual beli dan pelaburan yang haram, pengurusan harta secara Islam, perbankan Islam dan banyak lagi yang berkaitan dengannya. Sampai bilakah kekaburan ini akan berterusan?
Dalam hal ehwal perbankan yang majoriti umat Islam terlibat dalamnya pula, amat ramai yang masih tidak dapat memahami sebaiknya perbezaan ketara antara produk dan perkhidmatan Perbankan Islam dengan produk yang di tawarkan Perbankan Konvensional. Masih ramai lagi yang menuding jari mengatakan produk dan perkhidmatan Perbankan Islam adalah cerminan produk Perbankan Konvensional, dengan hanya menukar sebutan ‘interest’ atau ‘bunga’ kepada nama-nama seperti Kadar Untung, ‘Ujr, dan lain-lain istilah di dalam Bahasa Arab yang sebenarnya hanyalah helah sahaja, kata mereka.
Justeru di kesempatan ini, seminar ini ingin diadakan untuk memberi pendekatan dan pendedahan yang termudah kepada masyarakat secara tersusun dan interaktif berkenaan kewajiban umat Islam bagi memantau pemerolehan harta mereka, di samping mengkaji halalnya barangan yang dibeli.
v Objektif
- Mendedahkan disiplin Islam dalam hal kewangan secara umum dan praktikal.
- Menjelaskan pengertian Riba dan bentuknya dalam konteks semasa di institusi kewangan semasa.
- Menjelaskan beberapa asas utama dalam pelaburan halal.
- Pendedahan fenomena harta haram tanpa sedar. Seperti kes gaji, hadiah buat pegawai, kerja lebih masa dan sebagainya.
- Menjelaskan secara ringkas dan padat akan perbezaan amalan bank Islam dan bank Konvensional.
- Menyentuh dan menjawab beberapa isu semasa berkaitan perbankan Islam seperti kadar di perbakan Islam yang dikatakan lebih tinggi berbanding Konvensional dan lain-lain.
- Mendedahkan kepentingan kontrak atau aqad di dalam kewangan Islam.
- Memperkenalkan beberapa bentuk produk perbankan Islam.
- Memberi ruang bagi orang awam memahami dengan lebih jelas hakikay sebenar proses kewangan mereka berjalan di perbankan Islam dan Konvensional.
- Memberi ruang bagi dialog dan mendapatkan penjelasan sebenar tentang perbakan Islam.
v Penutup
Akhirnya, adalah diharapkan seminar ini akan mampu menjana ilmu yang amat berguna buat seluruh peserta dan juga dapat melahirkan generasi yang cintakan urusan kewangannya selamat dan halal. Kesan dari harta yang halal pastinya mampu menjadi nukleus ke arah pembentukan sebuah masyarakat yang beridentiti Islam tulen, insya alLah.
Sekian, wasslam.
Disediakan oleh: Sri Zuraihan Binti Mohamad.